Awal Muharram 2024: Tarikh dan Cuti Umum
Mungkin ada daripada anda yang keliru perbezaan Awal Muharram dan Maal Hijrah. Jangan risau, di sini kami akan kongsikan maksud sebenarnya. Pastikan anda baca sehingga habis.
Awal Muharram juga dikenali sebagai Maal Hijrah merupakan hari pertama dalam bulan Muharram iaitu bulan pertama dalam kalendar Islam. Peristiwa ini menandakan bermulanya tahun baharu Islam dan menjadi peristiwa penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Pada tahun 2024, Awal Muharram jatuh pada tarikh 7 Julai 2024, bersamaan dengan hari ahad. Bagi negeri-negeri yang bercuti pada hari ahad, cuti tersebut akan dibawa ke hari isnin.
Baca juga:
Sejarah Awal Muharram yang Anda Perlu Tahu
Awal Muharram memperingati peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah pada tahun 622 Masihi. Hijrah ini merupakan titik tolak penting dalam sejarah Islam, iaitu bermulanya komuniti Islam dan penyebaran agama Islam serta kepada pembentukan masyarakat Islam yang pertama dan juga penubuhan negara Islam di Madinah.
Amalan dan Sambutan Awal Muharram
Di Malaysia, terdapat pelbagai amalan dan cara sambutan Awal Muharram seperti melakukan perkara-perkara sunat iaitu:
- Puasa Sunat: Ramai orang memilih untuk berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Muharram, khususnya pada hari Asyura (10 Muharram) dan Tasu’a (9 Muharram) kerana terdapat banyak fadhilat berpuasa pada hari tersebut. Berdasarkan hadis daripada Ibn Abbas RA, Rasulullah SAW mengamalkan puasa sunat pada setiap 10 Muharram yang dikenali sebagai puasa sunat Hari Asyura’. Rasulullah SAW turut menggalakkan umat Islam untuk berpuasa pada hari tersebut. Antara kelebihan puasa sunat Hari Asyura adalah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya, seperti yang disebut dalam hadis riwayat Abu Qatadah RA yang diriwayatkan oleh Muslim.
- Solat Sunat dan Bacaan Doa: Umat Islam boleh menunaikan solat sunat iaitu solat sunat Awal Muharram. Bacaan doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah juga dilakukan bagi memohon keberkatan dan kebaikan dalam tahun yang baharu.
- Ceramah dan Tazkirah: Masjid-masjid dan surau-surau kebiasaannya akan mengambil peluang dengan menganjurkan program ceramah dan tazkirah yang berkaitan dengan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah.
- Majlis Kesyukuran dan Kenduri: Beberapa komuniti mengadakan majlis kesyukuran dan kenduri dengan niat untuk merapatkan silaturahim dan berkongsi rezeki. Makanan dan minuman dihidangkan kepada para tetamu dalam suasana yang penuh keakraban.
- Perarakan dan Perbarisan: Di beberapa tempat, perarakan dan perbarisan diadakan sebagai simbolik penghijrahan Nabi Muhammad SAW. Peserta akan berarak dengan membawa sepanduk dan bendera, diiringi dengan selawat dan nasyid.
- Program Kebajikan: Beberapa organisasi dan badan kebajikan adakalanya turut menganjurkan program-program kebajikan seperti pemberian bantuan kepada golongan asnaf, anak yatim, dan fakir miskin. Ia adalah sebagai manifestasi semangat hijrah yang mendorong kepada perubahan dan kebajikan dalam masyarakat.
- Pertandingan dan Aktiviti Kebudayaan: Terdapat juga pertandingan seperti kuiz agama, penulisan esei tentang hijrah, serta aktiviti kebudayaan yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat untuk memperingati dan menghayati semangat hijrah.
- Penglibatan Sekolah dan Institusi Pendidikan: Sekolah-sekolah dan institusi pendidikan sering mengadakan program khas sempena Awal Muharram. Ini termasuklah sesi ceramah, pertandingan mewarna, dan aktiviti lain yang mendidik tentang sejarah dan kepentingan hijrah dalam Islam.
- Pengampunan doa: Selain daripada penganjuran program sambutan bagi memperingati peristiwa hijrah ini, bulan Muharram adalah bulan terbaik untuk memperbanyakkan doa dan memohon keampunan kepada Allah. Selain itu, amalan yang sangat dituntut dan digalakkan adalah dengan memperbanyakkan solat, zikir, dan membaca Al-Quran. Mulai bulan pertama dalam kalendar Islam dengan aktiviti-aktiviti yang boleh mendekatkan dengan Allah.
Doa Awal Tahun dan Akhir Tahun
Berikut kami kongsikan doa awal tahun dan akhir tahun yang boleh anda amalkan. Doa ini dikongsikan daripada JAKIM.
Doa Awal Tahun
Doa Akhir Tahun
sumber: JAKIM
Kesimpulan
Awal Muharram merupakan waktu yang penuh dengan makna dan penting dalam Islam. Dengan memahami keistimewaan bulan ini, umat Islam dapat memanfaatkannya dengan memperbanyakkan ibadah, memperbaiki diri, dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Melalui refleksi, doa, dan puasa Asyura, kita dapat memulakan dan menjalani tahun baharu Hijrah dengan semangat yang baru dan tekad untuk menjadi Muslim lebih baik dalam menjalani kehidupan sebagai hamba Allah yang bertakwa.