Tahiyat Akhir : Lafaz Bacaan Dalam Arab, Rumi dan Terjemahannya
Apakah bacaan tahiyat akhir yang sebenarnya dalam solat dan kelebihan-kelebihannya?
Jom kami kongsikan huraian lengkap mengenainya untuk pemahaman anda.
Baca juga:
Apa itu tahiyat akhir?
Tahiyat akhir atau juga dipanggil sebagai tasyahud akhir adalah bacaan yang wajib dibaca dalam solat selepas bacaan sujud dalam rakaat terakhir.
Tahiyat akhir juga merupakan rukun yang ke-10 dalam senarai rukun-ruun solat yang wajib untuk dilakukan.
Intipati dari tahiyat merangkumi pelbagai aspek dan ia amat lengkap dengan puji-pujian terhadap Allah SWT, Rasulullah SAW, dan Nabi Ibrahim AS.
Teks bacaan tahiyat akhir
اَلتَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ ِللهِ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ اَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِاللهِ الصَّالِحِيْنَ، أَشْهَدُ اَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّاللهُ وَاَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهُ، اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَرَكْتَ عَلَى اِبْرَاهِيْمَ وَعَلَى آلِ اِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ
Attahiyatul mubarakatush solawatuth thayyibatu lillah. Assalamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullahi wabarakatuh. Assalamu’alayna wa ’alaa ‘ibadillahis solihin. Asyahadu allaa ilaha illallah. Wa ’asyhadu anna muhammadar rasulullah. Allahumma solli ’alaa muhammad wa ’alaa ali muhammad. Kama sollayta ’ala ibrahim wa ’alaa ali ibrahim. Wabarik ‘alaa muhammad wa ’alaa ali muhammad. Kama barakta ‘alaa ibrahim wa ’alaa ali ibrahim fil ‘alamin innaka hamidum-majid.
Maksudnya: “Segala ucapan selamat yang berkat-berkat (berganda-ganda) dan doa yang baik-baik semuanya untuk Allah. Selamat sejahtera atasmu wahai Nabi dan rahmat Allah dan keberkatanNya. Dan selamat sejahtera atas kita dan juga hamba-hamba Allah yang baik-baik.
Aku mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Dan aku mengaku bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah. Ya Allah anugerahkanlah kesejahteraan atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarga Nabi Muhammad. Seperti yang Engkau telah anugerahkan kesejahteraan atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim.
Dan berkatilah Nabi Muhammad dan keluarga Nabi Muhammad. Seperti yang Engkau telah berkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi.”
Hukum baca tahiyat akhir dalam solat
Hukum membaca tahiyat akhir dalam solat adalah wajib. Hal ini kerana ia merupakan salah satu rukun solat yang wajib kita lakukan dengan sempurna iaitu menbaca dengan makhraj dan tajwid yang betul.
Sekiranya tertinggal, maka tidak sah solat tersebut sekalipun diganti dengan sujud sahwi dan kita wajib untuk mengulanginya semula.
Cara duduk tahiyat Awal vs tahiyat akhir
Terdapat dua jenis duduk yang dilakukan oleh seseorang ketika tahiyat akhir. Yang pertama adalah duduk tawarruk, dan keduanya adalah duduk secara iftirash.
Tawarruk bermaksud: Seseorang itu duduk dalam keadaan tapak kaki kanannya berdiri tegak, dan jari jemari kaki kanannya menghadap ke arah kiblat. Manakala kaki kirinya dilipat ke arah kaki kanan, dan dia meletakkan bahagian punggungnya di atas lantai atau tanah.
Manakala iftirash pula membawa erti: Seseorang itu duduk dengan meletakkan bahagian punggungnya di atas kaki kirinya. Manakala tapak kaki kanan itu ditegakkan jari jemarinya menghadap ke arah kiblat.
Duduk tawarruk adalah duduk yang disunnahkan ketika tasyahud akhir pada solat empat rakaat seperti Zohor dan Asar, demikian juga disunatkan pada solat tiga rakaat seperti solat Maghrib.
Manakala duduk secara iftirash pula, ia disunatkan ketika duduk di antara dua sujud, ketika tasyahud awal bagi solat tiga rakaat dan empat rakaat, serta ketika tasyahhud akhir bagi solat dua rakaat seperti solat subuh, solat tahiyyatul masjid, dan selainnya daripada solat-solat sunat.
Cara baca tahiyat akhir yang betul
- Perlu dibaca secara sederhana (tidak terlalu kuat, atau perlahan). Sekadar ia dapat didengari oleh telinga sendiri sahaja.
- Dibaca dan dilafazkan mengikut turutan dalam tasyahud.
- Membaca dalam keadaan duduk dan diikuti dengan salam.
- Dilafazkan dalam bahasa Arab.
- Berikan fokus yang tinggi pada bacaan makhraj-makhraj huruf tasyahud.
- Teliti dengan hukum tajwid untuk mendapatkan bacaan yang terbaik.
- Membaca tasyahud dengan tertib.
Doa selepas bacaan tahiyyat
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ،
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَسِيحِ الدَّجَّالِ،
وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ المَحْيَا، وَفِتْنَةِ المَمَاتِ،
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ المَأْثَمِ وَالمَغْرَمِ
Maksudnya: Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada seksaan kubur, aku berlindung dengan -Mu daripada daripada fitnah al-masih al-Dajjal, aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah kehidupan dan kematian, serta aku berlindung dengan-Mu daripada perbuatan dosa dan hutang.” – ( Hadis Riwayat al-Bukhari, No. 832)
Semoga dengan perkongsian tentang lafaz dan bacaan tahiyat akhir ini dapat memberikan anda semua ilmu pengetahun yang bermanfaat untuk menambahkan lagi kualiti iman serta ibadah solat.
Sumber:
- Bacaan Tasyahud Akhir. JAKIM
- Irsyad Al-Hadith Siri Ke-253: Doa Selepas Bacaan Tahiyyat. Mufti Wilayah Persekutuan
- Al-Kafi #623: Posisi Duduk Ketika Tasyahhud Akhir. Mufti Wilayah Persekutuan
GIPHY App Key not set. Please check settings