Rukun Iman: 6 Penjelasan Panduan Asas Kehidupan
Selain rukun islam, ada lagi rukun yang menjadi panduan hidup umat Islam dari dulu sehingga bila-bila iaitu rukun iman.
Apakah rukun iman yang perlu anda tahu sebagai seorang Muslim? Jom kami kongsikan huraian lengkap mengenainya untuk pemahaman anda.
Baca juga:
Apa itu rukun iman?
Dari segi bahasa, iman bermaksud percaya, yakin dan membenarkan. Sedangkan dari segi syarak, iman adalah mengaku iaitu percaya dengan hati, mengaku dengan lidah, dan beramal dengan anggota.
Tonggak kepada keimanan seseorang Muslim itu boleh dilihat dari keyakinan dan amalannya dalam memahami serta melaksanakan rukun iman yang telah ditetapkan.
Tambahan pula, ia wajib dipatuhi oleh seluruh umat Islam yang bergelar Muslim.
Dalil pensyariatan
Dalam Surah An-Nisa, ayat 136, Allah SWT ada berfirman yang bermaksud:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اٰمِنُوْا بِاللّٰهِ وَرَسُوْلِهٖ وَالْكِتٰبِ الَّذِيْ نَزَّلَ عَلٰى رَسُوْلِهٖ وَالْكِتٰبِ الَّذِيْٓ اَنْزَلَ مِنْ قَبْلُ ۗوَمَنْ يَّكْفُرْ بِاللّٰهِ وَمَلٰۤىِٕكَتِهٖ وَكُتُبِهٖ وَرُسُلِهٖ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلٰلًا ۢ بَعِيْدًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul Nya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada Rasul Nya (Muhammad SAW) dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah dan malaikat-malaikat Nya, dan Kitab-kitab Nya dan Rasul-rasul Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
Berdasarkan jawapan Rasulullah SAW kepada Jibril AS yang berbunyi:
(1) أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ، وَمَلَائِكَتِهِ، وَكُتُبِهِ، وَرُسُلِهِ، وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
Maksudnya: “Kamu hendaklah beriman kepada Allah SWT, para Malaikat-Nya, kitab-kitab Nya, para rasul utusan Nya, hari Akhirat dan kamu hendaklah beriman dengan ketentuan takdir-Nya sama ada yang baik ataupun sebaliknya.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Huraian mengenai rukun iman
Jumlah perkara dalam rukun iman adalah sebanyak 6 perkara. Berikut adalah senarai lengkapnya beserta dengan huraian bagi setiap perkara.
1. Beriman kepada Allah SWT
Rukun pertama dalam rukun iman yang perlu kita yakini adalah beriman kepada Allah SWT.
Dalam konteks kita beriman kepada Allah, adalah wajib untuk kita mengenali Allah yang disembah, meyakini bahawa Dia wujud, dan mencipta segala isi alam dan sebagainya.
Untuk menguatkan keimanan kita itu, kita digalakkan untuk mempelajari ilmu usul, tauhid, atau akidah.
Ilmu inilah yang lebih dikenali dengan nama Sifat 20, yakni mengetahui dengan tafsil 20 sifat yang wajib bagi Allah SWT.
هُوَ اللّٰهُ الَّذِيْ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَ ۚ اَلْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ السَّلٰمُ الْمُؤْمِنُ الْمُهَيْمِنُ الْعَزِيْزُ الْجَبَّارُ الْمُتَكَبِّرُۗ سُبْحٰنَ اللّٰهِ عَمَّا يُشْرِكُوْنَ
Maksudnya: “Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya.” – (Surah Al-Hasyr, ayat 23)
Dari situ maka timbullah kefahaman mengenai Tauhid Rububiyah, Tauhid Uluhiyah dan Asmaul Husna (nama-nama Allah SWT yang mulia).
2. Beriman kepada para malaikat
Malaikat adalah makhluk yang sangat taat kepada perintah Allah SWT. Ia dijadikan daripada cahaya dan terpelihara dari maksiat.
Ia tidak berjantina, tidak bersuami atau isteri, tidak beribu atau berbapa, dan tidak beranak.
Bahkan ia tidak makan, dan tidak tidur, serta mampu menjelma menyerupai apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah atas izin Nya.
Ada 10 nama malaikat dan tugasnya yang kita perlu tahu, iaitu:
- Malaikat Jibril AS – Tugasnya menyampaikan wahyu daripada Allah SWT kepada para rasul.
- Malaikat Mika’il AS – Tugasnya menurunkan serta membahagikan rezeki kepada makhluk-Nya di muka bumi
- Malaikat Israfil AS – Tugasnya meniup sangkakala di hari akhirat dan di hari kebangkitan (yaumul ba’ts)
- Malaikat Izrail AS – Tugasnya mencabut nyawa setiap makhluk yang bernyawa di atas muka bumi
- Malaikat Raqib AS – Tugasnya mencatat setiap amalan kebaikan yang dilakukan manusia
- Malaikat ‘Atid AS – Tugasnya mencatat setiap amalan keburukan yang dilakukan manusia
- Malaikat Munkar AS – Tugasnya menyoal di dalam kubur
- Malaikat Nakir AS – Tugasnya menyoal di dalam kubur
- Malaikat Malik AS – Tugasnya menjaga pintu Neraka
- Malaikat Ridhwan AS – Tugasnya menjaga pintu Syurga
3. Beriman kepada kitab
Kitab menjadi panduan dan pendoman hidup setiap umat Islam. Kitab-kitab ini mengandungi peraturan hidup serta pengajaran untuk keidupan manusia.
Sebanyak 4 buah kitab telah diturunkan kepada umat Islam termasuklah umat terdahulu.
Namun hari ini hanya satu kitab agung yang diguna pakai sebagai rujukan utama iaitu Al-Quran.
Hal ini kerana, kitab-kitab yang lain itu hanya sesuai dipakai pada zaman itu dan bahkan sudah diubah suai oleh orang lain demi kepentingan mereka.
لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجًا ۚ
Maksudnya: “Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).” – (Surah Al-Ma’idah, 48)
4 buah kitab yang pernah diturunkan adalah:
- Taurat – Nabi Musa AS
- Zabur – Nabi Daud AS
- Injil – Nabi Isa AS
- Al-Quran – Nabi Muhammad SAW
4. Beriman kepada para rasul
Rasul bermaksud seorang lelaki yang bebas mendapat wahyu daripada Allah SWT dan ditugaskan untuk menyampaikan wahyu tersebut kepada umatnya.
Menurut pandangan Ibn Taimiyyah, Rasul diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar, sama ada dengan membawa syariat yang baharu seperti Nabi Muhammad SAW, atau dengan meneruskan syariat sebelumnya, seperti Nabi Ismail yang diutuskan kepada bani Jurhum dengan membawa syariat bapanya Nabi Ibrahim.
Menurut keterangan dalam riwayat oleh Abu Zarr al-Ghifari bahawa jumlah para nabi ialah sebanyak 124000 orang. Sementara yang menjadi rasul sebanyak 313 orang sahaja.
Namun begitu, hanya ebanyak 25 orang rasul yang wajib kita yakini, tahu, dan percaya. Berikut adalah senarainya:
- Adam AS
- Idris AS
- Nuh AS
- Hud AS
- Soleh AS
- Ibrahim AS
- Ibrahim AS
- Lut AS
- Ismail AS
- Ishak AS
- Yaakub AS
- Yusuf AS
- Ayub AS
- Syu’aib AS
- Musa AS
- Harun AS
- Zulkifli AS
- Daud AS
- Sulaiman AS
- Ilyas AS
- Ilyasa’ AS
- Yunus AS
- Zakaria AS
- Yahya AS
- Isa AS
- Muhammad SAW
5. Beriman kepada hari akhirat
Hari kiamat adalah hari pengakiran bagi semua makhluk di atas muka bumi ini. Pada hari tersebut, semua manusia dari zaman Nabi Adam sehingga hari ini tidak ada yang terkecuali akan dihimpunkan di padang mahsyar dan dihisap segala amalnya.
Al-Quran banyak menyebut tentang kiamat itu sebagaimana yang disebut dalam surah al-Hajj, ayat 7 bermaksud:
“Dan sesungguhnya hari kiamat itu pasti akan datang, tidak ada keraguan padanya…”
Rukun iman kita percaya kepada hari kiamat termasuklah juga kepada kepercayaan kepada:
- Adanya mati.
- Pembalasan alam kubur, azab atau nikmat.
- Hari kebangkitan setelah dunia ini dihancurkan kesemuanya.
- Padang Mahsyar tempat kesemua manusia dan jin akan dikumpulkan untuk diadili.
- Dihisab segala amalan dan dilakukan neraca timbangan.
- Meniti titian (sirat).
- Ke syurga atau ke neraka.
6. Beriman kepada qada’ dan qadar
Rukun iman yang terakhir adalah beriman kepada qada’ dan qadar. Qada’ adalah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya sama ada dari sudut menciptakannya, meniadakannya atau mengubahnya.
Manakala qadar pula adalah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu Nya yang mendahulu setiap perkara.
Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan qada’ adalah asas atau tapak binaan, dan qadar pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut.
Kesimpulan
Kesimpulannya, kita sebagai seorang Muslim yang sentiasa berusaha dalam mengejar redha Allah untuk menjadi seorang Muslim dan Mukmin yang berjaya hendaklah sentiasa mengingati dan menghayati rukun-rukun iman.
Hal ini kerana, ia adalah dasar akidah dan kepercayaan dalam agama Islam. Sesiapa yang beriman dengan rukun iman, maka Allah akan mengangkat amalnya. Sesunguhnya Allah mengangkat darjat mereka yang beriman.
Diharapkan perkongsian kali ini memberikan anda semua ilmu pengetahuan yang bermanfaat untuk kehidupan seharian.
Panduan yang diberikan tidak lain hanya untuk memudahkan anda semua memahami rukun iman dengan mudah.
Sumber:
- Apakah Beza Qada’ dan Qadar? Jabatan Mufti Terengganu
- Al-Afkar #62: Perbezaan Antara Nabi dan Rasul. Mufti Wilayah Persekutuan
GIPHY App Key not set. Please check settings