Peribahasa: Koleksi Lengkap Dari A-Z Berserta Maksud

Peribahasa adalah ayat atau susunan kata yang mempunyai maksud tertentu yang biasanya merujuk kepada maksud berkias, berlapik atau tersirat.

Perkongsian kali ini, kami ingin kongsikan pada anda koleksi peribahasa dan maksudnya untuk anda praktikkan dalam penulisan.

Baca juga:

Apa itu peribahasa

Menurut Za’ba, peribahasa bermaksud susunan kata yang pendek dan mempunyai makna yang luas.

Peribahasa boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, dan pepatah.

  • Simpulan bahasa: kata-kata ringkas atau rangkaian perkataan yang dirumuskan dalam susunan tertentu yang membawa maksud tertentu. Maksudnya terdapat daripada apa yang tersirat atau tersembunyi, bukan daripada yang tersurat atau nyata
  • Perumpamaan: susunan kata-kata yang indah; ringkas dan kemas serta mempunyai maksud yang tersirat. Biasanya, perumpamaan dimulai dengan kata bagai, ibarat, laksana, seperti dan umpama
  • Bidalan: susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Dalam bidalan terkandungan perbandingan, teladan dan pengajaran
  • Pepatah: seakan-akan sama dengan biadalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah

Beza peribahasa dan simpulan bahasa

Simpulan bahasa ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal perkataan tersebut. Ia adalah bentuk peribahasa yang paling mudah.

Manakala peribahasa adalah frasa dan ayat yang mempunyai susunan yang tepat dan mengandungi makna khusus.

Peribahasa merupakan istilah umum kepada jenis-jenis yang dikenal sebagai simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan, pepatah dan perbilangan. Peribahasa digolongkan seperti simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan dan perbilangan.

Koleksi lengkap berserta maksud

Berikut adalah beberapa koleksi peribahasa berserta maksudnya untuk rujukan anda:

PeribahasaMaksud
Air dicencang tiada putusPerbalahan atau pergaduhan antara saudara-mara tidak akan berpanjangan kerana akhirnya mereka akan berbaik- baik semula
Bagai harimau beranak mudaKeadaan seseorang yang sangat bengis, garang
Bagai itik berebutkan temboloka) Perbalahan kerana sebab yang terlalu kecil.
b) Perbalahan kerana makanan atau keuntungan yang sedikit.
Bagaimana acuan begitulah kuihnyaSeseorang anak itu akan menurut budi dan perangai ibu bapanya.
Keadaan sesuatu itu menurut asalnya.
Bagai Belanda minta tanahHal orang yang tamak; diberi sedikit hendak banyak, diberi banyak hendak semuanya.
Bagai kaduk naik junjungOrang yang hina apabila mendapat keistimewaan (mendapat pangkat dll) akan menjadi mengada-ngada.
Bagai ayam bertelur di padiHal seseorang yang hidupnya senang, tiada khuatir akan kekurangan apa-apa.
Bagai hujan jatuh ke pasirKebaikan (pertolongan dll) yang sia-sia (tidak berbalas)
Bagai tikus membaiki labuSeseorang yang cuba memperbaiki sesuatu yang tidak diketahuinya, akhirnya merosakkannya.
Belakang parang pun jikalau diasah nescaya tajama) Seseorang yang bodoh sekalipun, jika diajar betul-betul akan menjadi pandai.
b) Orang yang sabar dan setia, jika dihasut boleh jadi jahat.
Berhakim kepada berukMeminta pengadilan kepada seseorang yang tamak, akhirnya kedua-dua pihak akan mengalami kerugian.
Bukannya diam penggali berkaratDiam seseorang yang berilmu itu berfikir, sementara diam orang yang bodoh itu sia-sia sahaja.
Busut juga ditimbun oleh anai-anaia) Orang kaya juga yang bertambah kekayaanya.
b) Orang yang pernah bersalah juga dituduh jika berlaku sesuatu kejahatan.
Garam jatuh di airSeseorang yang sangat cepat menerima dan mudah memahami sesuatu nasihat atau pengajaran yang diberikan kepadanya
Ibarat bunga dedap, sungguh merah berbau tidakTidak guna seseorang itu cantik molek jika dia tidak berbudi bahasa yang mulia
Melepaskan anjing tersepitMenolong orang yang tidak tahu membalas budi, melainkan kadang-kadang membalas dengan perbuatan jahat.
Melepaskan batuk di tanggaMembuat sesuatu pekerjaan dengan tidak sungguh-sungguh.
Ringan tulang, berat perutJika rajin dan tekun berusaha melakukan sesuatu pekerjaan, maka akan murahlah rezeki.
Sebab buah dikenal pohonnyaDaripada tingkah laku seseorang itu kita dapat mengetahui atau mengenali watak dan asal seseorang.
Seperti labah-labah cinta kepada telurnyaPerihal kasih sayang yang mendalam sekali dan sukar diceraikan.
Seperti pucuk yang layu disiram hujana) Memperoleh barang yang sangat diharapkan.
b) Orang yang susah memperoleh kesenangan, atau orang yang sakit beroleh penawar.
Seperti tikus jatuh ke berasa) Orang yang mendapat kedudukan yang mewah.
b) Seseorang yang beroleh kekayaan atau keuntungan tetapi tidak mahu menceritakannya kepada orang lain.
Seperti harimau menyembunyikan kukunyaOrang yang bijaksana tetapi menyembunyikan pengetahuan dan kebolehannya.
Seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betulTiada berguna menasihati orang lain, kalau kelakuan sendiri tiada sesuai dengan apa yang dinasihatkannya itu.
Takut titik lalu tumpahHendak mengelakkan kerugian kecil akhirnya mendapat kerugian besar.
Air yang dingin juga yang dapat memadami apiPerkataan yang lembut juga yang dapat mendinginkan hati orang yang sedang marah.
Bagai unta menyerah diriOrang yang terlalu bodoh dan terlalu lurus yang menjadi mangsa orang yang lebih pintar & cerdik
Bagai kerakap atas batu, hidup enggan mati tak mahua) Perihal seseorang yang hidup dalam kemiskinan dan melarat.
b) Perihal seseorang yang telah lama menghidap penyakit.
Tanaman yang tidak tentu hidup-matinya.
Baru hendak bertunas, sudah dipetik lama-lama matilah pokoknyaIbarat orang yang berniaga baru mendapat keuntungan sedikit sudah berbelanja besar, akhirnya habislah modal.
Batu yang selalu bergolek di dalam sungai itu tiada dihinggapi lumuta) Orang yang selalu bertukar kerja tidak akan mencapai kejayaan dalam kerjayanya dan sukar untuk menjadi seorang yang kaya.
b) Orang yang selalu menambah pengetahuannya tidak dapat ditipu orang.
Berkerat rotan berpatah arangPutus perhubungan yang tidak dapat disambung semula.
Besar pasak dari tiangBerbelanja lebih besar daripada pendapatan yang diperolehi.
Biduk lalu kiambang bertautPerselisihan faham yang berlaku antara saudara-mara tetapi pada masa kemudian dapat berbaik-baik semula.
Bodoh-bodoh sepat, tiada makan pancing emasa) Walaupun seseorang itu bodoh tetapi dia masih tahu memilih yang mana baik atau yang mana buruk untuk dirinya.
b) Orang bodoh yang mendapat kecelakaan kerana berpura-pura bersikap seperti orang pandai.
Jadi umang-umanga) Orang yang menyamar kerana sesuatu muslihat.
b) Barang yang sama jika berlainan keadaannya maka berlainanlah pula namanya.
Jauhari juga yang mengenal manikamOrang yang bijaksana jua yang mengetahui keelokan ilmu, menghargai sifat yang mulia dan dapat menilai ketinggian mutu sesuatu barang.
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak didugaJika ilmu atau kebolehan kita sedikit, janganlah kita cuba berbuat (melawan dll) orang atau sesuatu yang besar.
Kalau tiada ada helang, belalang menjadi helangSeseorang yang bertindak mengaku bahawa dirinya seorang yang bijak serta pandai apabila dia mendapati tidak ada orang lagi yang lebih bijak dan pandai di tempat itu.
Kecil jangan dijangka anak, besar jangan dijangka bapaPengatahuan dan kelebihan itu tidak semestinya khusus pada orang- orang tua sahaja tetapi ada juga pada orang-orang muda.
Lidah bercabang bagai biawakSelalu berubah-ubah dan tidak dapat dipercayai kata-katanya
Laksana wau melawan angina) Kehendak orang atasan atau orang yang berkuasa tidak dapat dihalang oleh orang bawahan ataupun orang yang lemah, jika dilawan binasalah diri.
b) Membuat pekerjaan yang tidak mungkin dikerjakan.
Pipit pekak makan berhujanSeseorang yang sangat rajin dalam suatu pekerjaan, tiada peduli akan bahaya akan timbul pada dirinya.
Seperti api dalam sekamPerihal perbuatan yang disembunyikan tiada ketara pada orang atau berlaku secara diam-diam.
Seperti gergaji bermata duaOrang yang berpura-pura berbuat baik kepada dua belah pihak sehingga beroleh keuntungan daripada kedua-duanya.
Seperti seludang menolak mayangMegahkan atau menyombongkan diri.
Seperti gunting makan di hujunga) Seorang yang tiada disangka, tetapi dengan sembunyi-sembunyi dan perlahan-lahan dia melakukan perbuatannya.
b) Orang yang bijak mengeluarkan kata-kata yang tajam (pedas) tetapi tidak terasa oleh orang lain.
Terlepas dari mulut buaya, masuk ke mulut harimauTerhindar daripada kemalangan/musibah kecil lalu menghadapi kemalangan/musibah lebih besar
Tong kosong nyaring bunyinya.a) Seseorang yang bodoh itu biasanya banyak cakapnya.
b) Orang yang sombong, bercakap besar tetapi tidak berisi/tak bererti
Tumbuk rusukMemberi wang rasuah
Umpama air digenggam tiada tirisOrang yang sangat kikir atau bakhil tidak sedikit terbuka tangannya untuk menolong orang yang hidup sengsara
Air pun ada pasang surutnyaKeadaan hidup seseorang tidak tetap, ada kalanya senang ada kalanya susah
Ayam terlepas tangan berbau tahiOrang yang membuat perbuatan yang ditegah akhirnya mendapat malu
Berapa berat mata memandang, berat juga bahu memikulSesusah-susah orang yang melihat penderitaan seseorang itu tentulah tidak sama dengan penanggungan orang yang menderita itu sendiri.
Belum duduk berlunjur dahulua) Menganggap sudah memperoleh atau memiliki sesuatu perkara yang belum pasti dimiliki atau dikuasai.
b) Orang yang cepat-cepat marah walaupun orang yang dimarahi belum tentu terbukti kesalahannya.
Belayar bernakhoda, berjalan dengan yang tahu, berkata dengan yang pandaiSesuatu pekejaan besar yang hendak dilakukan eloklah diketuai pelaksanaannya oleh orang yang memang ahli dalam perkara itu supaya selamat.
Besar periuk besar keraknyaOrang berpendapatan besar, besar juga perbelanjaannya.
Biar putih tulang, jangan putih mataa) Mempertahankan sesuatu yang menjadi hak milik kita walaupun nyawa kita terancam.
b) Lebih baik mati daripada menanggung malu.
Bertelingkah bagai antan di lesungOrang yang sama sepekerjaan itu, jikalau berselisihan dan berkecil hati, jadi rosaklah pekerjaannya.
Burung terbang dipipiskan ladaMerancang sesuatu yang belum pasti diperolehi
Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengarBerhati-hati sesama bercakap dengan orang kerana percakapan yang sembarangan boleh membawa akibat yang buruk.
Ditatang bagai minyak yang penuhSangat dikasihi dan dipelihara dengan sempurnanya.
Gajah berak besar, kancil pun hendak berak besarHendak meniru-niru perbuatan orang besar atau kaya, akhirnya diri sendiri binasa.
Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengahPeperangan atau perselisihan yang berlaku antara dua pihak yang berkuasa menyebabkan rakyat yang binasa atau menderita.
Jika ular menyusur akar, tidak akan hilang bisanyaOrang besar atau mulia tidak akan hilang martabatnya jika ia merendahkan dirinya sekalipun.
Ingat sebelum kena, jimat sebelum habisHendaklah sentiasa berhati-hati supaya jangan terpedaya dan habis harta dengan percuma.
Kuat ketam kerana sepit, kuat burung kerana sayapSetiap orang mempunyai kekuatan dan kelebihan masing- masing.
Menegakkan benang basaha) Menahankan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak dapat dipertahankan lagi.
b) Mengerjakan pekerjaan yang mustahil berhasil.
Menconteng arang di mukaMelakukan sesuatu perbuatan buruk yang boleh memberi aib atau mencemarkan nama ibu bapa atau keluarga.
Rumah sudah pahat berbunyia) Mencela atau bersungut tentang sesuatu yang sudah siap.
b) Mengemukakan keterangan baru atau saksi baru setelah diputuskan oleh hakim.
Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalana) Sesuatu perkara yang telah terlanjur dibuat salah, hendaklah dibetulkan dengan dibuat semula dari awal.
b) Jika tidak boleh dicapai persetujuan dalam sesuatu mesyuarat hendaklah diselidik kembali pokok persoalannya, supaya dapat pertimbangan yang baik.
Seperti buah padi, makin berisi makin rendah; jangan seperti lalang, makin lama makin tinggiOrang yang bangsawan dan budiman serta berilmu itu makin tinggi martabatnya makin dia merendah diri; bukannya seperti orang yang tiada berbudi dan jahil, apabila diperolehinya sesuatu kelebihan, dia pun sombong.
Sedencing bagai besi, seciap bagai ayamMengerjakan sesuatu bersama-sama, baik ringan mahupun berat.
Seperti embun di hujung rumputSesuatu perkara yang tidak kekal dan segera hilang.
Seperti orang buta kehilangan tongkata) Berada dalam kesukaran
b) Orang bodoh, tiada pula berusaha dalam apa yang dilakukannya sehingga menjadi sesat kehidupannya.
Tukang tidak membuang kayuOrang yang cerdik, sayang kepada segala macam orang kerana masing-masing ada gunanya.
Ambil patinya, buangkan hampasnyaDaripada tiap-tiap cerita atau perkara janganlah hiraukan yang salah atau yang buruk, ambil sahaja yang betul
Baik membawa resmi ayam betinaSeseorang itu hendaklah selalu merendah diri dalam tutur kata dan perbualan supaya tidak dibenci oleh orang lain dan selamat dalam hidup
Berjalan peliharakan kaki, bercakap peliharakan lidahDalam melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah berhati-hati
Besar kapal besarlah gelombangMakin besar darjat atau perniagaan seseorang makin besar pula bencana atau kerugian yang dapat menimpanya
Bukit sama didaki, lurah sama dituruniBermuafakat dalam sesuatu perkara agar senang atau susah sama-sama dirasai
Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakatMelalui perbincangan atau perundingan dapatlah dicapai kata sepakat untuk melakukan sesuatu tindakan atau usaha
Daun dapat dilayangkan, getah jatuh ke perdu jugaTidak sama kasih kepada anak sendiri dengan kasih kepada anak orang
Dalam menyelam, cetek bertimbaJika tidak mendapat hasil atau rezeki yang banyak, yang sedikit pun memadai
Di padang orang berlari, di padang sendiri berjingkitTabiat orang yang tamak, mahu menerima pemberian orang sahaja, tetapi memberi dia sekali-kali tidak mahu
Hilang adat tegal muafakatSesuatu adat yang telah berakar umbi dapat diubah jika ada persetujuan orang ramai
Ikan terkilat jala pun tibaOrang yang cepat menangkap maksud cakap orang lain sebelum habis diperkatakan sudah dapat dijawab
Jika tidak dipecah ruyung, di mana dapat sagunyaTidak akan tercapai cita-cita tanpa usaha gigih
Jika kerbau dipegang talinya, jika manusia dipegang mulutnyaSeseorang itu wajib menepati sesuatu yang telah dijanjikannya
Jong pecah yu kenyanga) Kerugian yang dialami oleh orang-orang atasan tidak memberi sebarang faedah kepada orang kebanyakan.
b) Dalam keadaan kekacauan ada orang yang mendapat faedah
Kail sebentuk umpan seekor, sehari putus sehari hanyutMelakukan sesuatu dengan tidak cukup persediaan bagi menghadapi segala kemungkinan seperti berniaga dengan modal alang kepalang
Kalau gajah hendaklah dipandang gadingnya, kalau harimau hendaklah dipandang belangnyaSesuatu perkara itu perlu disiasat dahulu dengan teliti dan tidak boleh setakat mendengar cakap-cakap orang sahaja.
Kalau tak ada berada, tak kan tempua bersarang rendahTentu ada sebabnya sesuatu hal berlaku walaupun sebabnya itu tersembunyi
Keras-keras kerak nasi, kena air lembut jugaSekeras-keras hati seseorang itu bila dipujuk dan dinasihati akan lembut juga
Kilat di dalam kilau, kabus di dalam hujanDalam tutur kata dan tingkah laku seseorang ada tersimpul beberapa kehendak hati
Laut mana yang tidak berombak, bumi mana yang tidak ditimpa hujanManusia tidak sunyi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan
Meski tertimbun dalam tanah, namun teras timbul jugaa) Seseorang yang berbudi baik itu sekali pun dalam melarat tetap berbudi dan berhati mulia.
b) Meskipun kebenaran itu belum terang, lambat laun akan menjadi kenyataan juga
Muka berpandangan, budi kedapatan kasih bagai selama juaSeseorang yang mengetahui perbuatan jahat orang lain terhadap dirinya tetapi tidak menghiraukannya
Pelapah bawah luruh, pelapah atas jangan gelakTiap-tiap yang bernyawa akan mati juga sudahnya, baik tua, muda ataupun anak-anak kecil
Quran burukOrang tua yang banyak pengalaman tidak wajar disia-siakan walaupun buah fikirannya tidak dapat digunakan lagi
Rosak badan kerana penyakit, rosak bangsa kerana lakuPenyakit yang dihadapi itu boleh merosakkan keelokan rupa kita, begitu juga kelakuan yang keji itu boleh merosakkan nama baik bangsa kita

Peribahasa DBP

peribahasa
peribahasa
peribahasa
peribahasa
peribahasa
peribahasa

Untuk mendapatkan lebih banyak koleksi peribahasa, anda boleh beli Kamus Peribahasa Edisi Keempat

Leave your vote

Share your love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Log In

Forgot password?

Forgot password?

Enter your account data and we will send you a link to reset your password.

Your password reset link appears to be invalid or expired.

Log in

Privacy Policy

Add to Collection

No Collections

Here you'll find all collections you've created before.