novel-leftenan-adnan novel-leftenan-adnan

Sinopsis Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa

PENGENALAN

Novel Leftenan Adnan merupakan salah sebuah novel KOMSAS bagi pelajar tingkatan empat di Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia merupakan hasil nukilan Abdul Latip Talib, seorang penulis prolifik negara yang lebih dikenali dengan novel-novel sejarah Islam. Berikut merupakan sinopsis Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa.

Muka-depan-Novel-Leftenen-Adnan-Wira-Bangsa
LATAR BELAKANG kehidupan leftenan adnan

Berlatarbelakangkan kehidupan seorang anak muda bernama Adnan bin Saidi yang dilahirkan di Sungal Ramal, Selangor, Adnan dibesarkan dengan kehidupan yang serba kekurangan dan miskin daripada pasangan Pak Saidi dan Mak Milah. Adnan merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik iaitu Ahmad dan Amarullah. Rata-rata pekerjaan penduduk kampung di situ bergantung pada hasil sawah dan getah sahaja bagi menampung kehidupan seharian mereka. Oleh itu, sebagai anak yang rajin dan taat, Adnan menggalas tanggungjawab dengan
membantu orang tuanya di kebun getah setiap pagi seawal usia 10 tahun.

Adnan mempunyai darah keturunan pahlawan yang diwarisi oleh moyangnya ketika perjuangan menentang Inggeris di Naning. Walau bagaimanapun, hal ini dirahsiakan oleh Pak Saidi daripada penduduk kampung kerana khuatir diburu oleh pihak Inggeris. Namun, jiwa dan semangat pahlawan itu sentiasa mengalir ke dalam diri Adnan. Sejak kecil, Adnan sentiasa diterapkan dengan ilmu persilatan, sejarah tanah air, dan pentingnya orang Melayu mengubah nasib dan kehidupan mereka di tanah air sendiri. Pak Saidi tidak mahu anak-anaknya mewarisi pekerjaan dan berazam untuk memastikan masa depan anak-anaknya lebih terjamin.

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement

SEMANGAT PERJUANGAN YANG TINGGI

Pak Saidi mempunyai satu kesedaran bahawa melalui ilmu pengetahuan, anak Melayu dapat membangunkan dan memajukan tanah air. Justeru, beliau nekad untuk menghantar anak-anaknya bersekolah di aliran Inggeris. Tindakan Pak Saidi mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang beranggapan bahawa sekolah aliran Inggeris akan memberi pengaruh buruk kepada anak-anaknya.

Namun, semangat perjuangan yang tinggi dan menebal dalam diri Pak Saidi tidak menghalangnya untuk menghantar Adnan bersekolah di sekolah aliran Inggeris. Di sekolah, Adnan merupakan salah seorang pelajar yang pintar dan rajin serta disenangi oleh guru-guru dan rakan-rakannya. Setelah tamat persekolahan, Adnan telah diterima sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Sungai Ramal. Namun, bidang perguruan bukanlah minatnya, sebaliknya beliau ingin menjadi askar sejak kecil lagi dan sentiasa mencari peluang untuk menjadi askar. Pada masa yang sama, tersebar berita bahawa British sedang mencari askar Melayu dalam kalangan anak-anak muda tempatan. Setelah mendapat restu
daripada ibu bapanya, Adnan dan beberapa orang rakannya telah menyertai kem latihan ketenteraan di Port Dickson.

Atas kesungguhan yang mendalam sewaktu menjalani latihan ketenteraan, Adnan telah dipilih sebagai rekrut terbaik dan diserap ke dalam pasukan Askar Melayu. Beliau telah ditugaskan ke Singapura dan menerima kenaikan pangkat sebagai Sarjan seterusnya terpilih untuk menghadiri upacara pertabalan King George VI di London. Bagaikan rezeki bertimpa-timpa, Adnan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Leftenan dan berkahwin dengan seorang guru di kampungnya bernama Sofia. Pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan. Mereka sekeluarga menetap di Kem Rejiman Askar Melayu di Pasir Panjang, Singapura.

LEFTENAN ADNAN: WIRA BANGSA TANAH AIR

Apabila berlaku Perang Dunia II, terdapat perkhabaran bahawa Jepun akan menyerang Singapura. Adnan terpaksa menghantar isteri dan anak-anaknya pulang ke kampung bagi memastikan keselamatan keluarganya. Tidak lama selepas itu, Askar Jepun berjaya mendarat di Kota Bharu dan berjaya menawan Kelantan selepas berlakunya pertempuran sengit dengan pihak British. Akibatnya, ramai Askar Melayu yang terkorban di medan perang termasuklah Ahmad, adik kepada Adnan yang bertugas sebagai angkatan tentera laut. Peristiwa ini mengejutkan pihak British kerana Jepun berjaya memusnahkan aset ketenteraan British seperti kapal perang. Pihak British yakin bahawa kubu pertahanan di Singapura kebal, namun akibat tiada pertahanan yang kukuh di Johor, tentera Jepun berjaya menawan satu persatu negeri di Tanah Melayu. British akur dengan kekalahan mereka dan Jepun berjaya menakluki Singapura pada 1942. Ekoran daripada peristiwa itu, Adnan bersama-sama dengan 42 orang anggotanya telah terkorban semasa mempertahankan Bukit Candu dari tawanan Jepun sehinggalah titisan darahnya yang terakhir.

Semoga sinopsis Novel Leftenan Adnan Wira Bangsa yang dikongsikan dapat menyemarakkan lagi semangat perjuangan dan cintakan tanah air kita.

Add a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement