6-rukun-iman 6-rukun-iman

Rukun Iman dan Huraiannya

Sejak dari kecil lagi kita sudah diajarkan tentang kepentingan rukun iman yang perlu diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang Muslim. Rukun iman merupakan kepercayaan dan keyakinan terhadap dasar yang harus diyakini oleh setiap Muslim. Ini adalah asas daripada keimanan seseorang dalam ajaran Islam.

Terdapat enam prinsip dalam rukun iman antaranya adalah:

  1. Beriman kepada Allah SWT
  2. Beriman kepada Malaikat
  3. Beriman kepada Kitab
  4. Beriman kepada Rasul
  5. Beriman kepada Hari Akhirat
  6. Beriman kepada Qada dan Qadar
6-rukun-iman

Huraian Rukun Iman

Beriman kepada Allah SWT

Beriman kepada Allah merupakan satu landasan paling utama dalam Rukun Iman. Ini kerana seseorang Muslim itu wajib yakin mempercayai Allah SWT yang mencipta dan mengawal seluruh alam. Keyakinan ini menekankan pentingnya menyembah hanya kepada Allah SWT dan mengakui kekuasaanNya yang mutlak serta keesaanNya tanpa sekutu. Disamping itu, percaya Allah SWT mempunyai sifat kesempurnaan seperti Maha Mendengar, Mengetahui, Pengasih, Pemurah, Adil dan sebagainya.

Beriman kepada Malaikat

Beriman kepada Malaikat melibatkan keyakinan tentang kewujudan dan keberadaan Malaikat atau pesuruh Allah di dunia ini. Malaikat dicipta bukan dari kalangan manusia, jin, syaitan mahupun binatang malah ia dicipta daripada cahaya dengan rupa bentuk yang tersendiri, berakal tetapi tidak mempunyai nafsu. Malaikat merupakan utusan Allah yang melaksanakan tugas-tugas tertentu seperti menyampaikan wahyu kepada para nabi dan mencatat amalan manusia.

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement

Beriman kepada Kitab

Beriman kepada Kitab melibatkan keyakinan kepada wahyu-wahyu atau himpunan dasar lengkap segala peraturan dan dasar ketuhanan berhubung dengan dunia mahupun akhirat yang diturunkan oleh Allah kepada para nabi sebagai panduan hidup manusia. Terdapat 4 kitab yang diturunkan kepada para nabi iaitu kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran. Al-Quran yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW dianggap sebagai kitab suci terakhir dan petunjuk utama bagi umat Islam dalam menjalani kehidupan manusia.

Beriman kepada Rasul

Beriman kepada Rasul merangkumi keyakinan kepada para nabi atau rasul yang diutuskan oleh Allah SWT dalam menyampaikan wahyuNya kepada umat manusia. Nabi atau rasul adalah utusan Allah yang membawa segala ajaran Allah SWT dan memimpin umat menuju ke arah kebenaran dan kebahagiaan. Nabi yang diutuskan Allah SWT buat kali terakhir dan penutup segala rasul adalah Nabi Muhammad SAW.

Beriman kepada Hari Akhirat

Beriman kepada Hari Akhirat adalah keyakinan akan adanya hari kiamat. Hari kiamat iaitu hari di mana manusia akan dihidupkan semula dari kematian untuk dihisab atas semua perbuatan mereka di dunia. Semasa hari kiamat segala amalan manusia akan ditimbang dan diberikan balasan yang adil berdasarkan kebaikan atau kejahatan yang telah mereka lakukan. Keyakinan ini juga merangkumi keyakinan akan adanya syurga dan neraka sebagai tempat terakhir bagi manusia berdasarkan amalan mereka di dunia.

Beriman kepada Qada dan Qadar

Beriman kepada Qada dan Qadar adalah keyakinan kepada takdir atau kejadian, yang berlaku pada diri seseorang ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap individu mestilah beriktikad bahawa segala kejadian sama ada sengaja ataupun tidak sengaja itu berlaku mengikut kehendak Allah SWT.

Kesimpulan Rukun Iman

Rukun Iman adalah landasan keyakinan dalam Islam yang membentuk asas keimanan umat Islam. Setiap elemen Rukun Iman memainkan peranan yang penting dalam membentuk identiti dan sahsiah umat Islam. Dengan memahami dan mengamalkan Rukun Iman, umat Islam dapat mengukuhkan keimanan mereka kepada Allah dan menjalani kehidupan yang lebih bermakna dan bertaqwa.

Add a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement