kemalangan-jalan-raya kemalangan-jalan-raya

Contoh Karangan Kemalangan Jalan Raya

Karangan merupakan antara subjek yang sukar dikuasai ketika sekolah kerana ia memerlukan penguasaan bahasa dan teknik menulis yang baik. Walau bagaimanapun, kemahiran menulis karangan boleh diasah sekiranya anda tahu teknik-teknik menghasilkan karangan yang baik. Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan contoh penulisan karangan kemalangan jalan raya yang boleh anda contohi. Tetapi sebelum itu, kami kongsikan juga teknik menulis karangan sebagai panduan anda.

Teknik Menulis Karangan

Secara asasnya, terdapat beberapa teknik penulisan karangan yang boleh anda gunakan semasa menulis karangan. Namun untuk menghasilkan penulisan karangan yang baik dan berstruktur, pemerengganan adalah perkara yang perlu diberi perhatian. Ia kerana, pemerengganan merupakan pembentukan fizikal sesebuah karangan. Melalui pemerengganan, anda dapat mengembangkan idea-idea menarik di setiap perenggan. Perlu diingat, perenggan yang membezakan pendahuluan, isi dan penutup. Oleh itu, buat kerangka terlebih dahulu sebelum anda mula menulis karangan.

Menulis Kerangka Penulisan Karangan

i. Pendahuluan

Selain tajuk, pendahuluan adalah perkara pertama yang akan menarik perhatian pembaca. Ia boleh diumpamakan sebagai ‘highlight’ untuk tajuk yang akan ditulis dan akan memberi kesan kepada keseluruhan penceritaan. Dalam pengenalan, anda perlu memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak faham. Anda perlu mengandaikan bahawa penulis tidak faham dan di sinilah pentingnya peranan pengenalan yang akan mengemudi pembaca ke perenggan seterusnya.

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement

ii. Isi

Dalam pembinaan perenggan, sebaik-baiknya perlu mengandungi satu isi penting sahaja. Isi yang dibangunkan perlu mengikut kehendak tajuk. Ia perlu berstruktur dan berkait di antara setiap isi. Terdapat kaedah yang anda boleh gunakan untuk mencari isi, antaranya adalah menggunakan teknik 5W’s 1H. Teknik ini biasanya digunakan dalam penulisan kewartawanan. Ia menjawab kepada persoalan What(Apa), Who(Siapa), When(Bila),Why (Mengapa),Where(Di mana) dan How(Bagaimana). Teknik 5W’s 1H ini dapat membantu anda menjawab pertanyaan bagi menghasilkan penulisan yang baik. Disyorkan agar setiap karangan mempunyai 4 isi bagi setiap perenggan.

iii. Penutup

Di bahagian kesimpulan atau penutup, anda perlu merumuskan keseluruhan penceritaan. Sama seperti pengenalan, anda perlu memastikan penutup dikarang dengan baik dengan memasukkan hasil rumusan anda agar dapat memberi kepuasan dan pemahaman kepada pembaca setelah mengikuti keseluruhan penulisan anda. Dalam penutup juga, anda perlu sertakan pendapat anda atau idea secara ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk yang ditulis. Pastikan penutup anda diakhiri dengan penutup yang padat dan umum tanpa penyataan yang menyentuh sensitiviti.

Contoh Karangan Kemalangan Jalan Raya

Pengenalan

Kemalangan jalan raya merupakan satu masalah serius yang sering meragut nyawa terutamanya pengguna jalan raya. Di Malaysia, isu kemalangan jalan raya menjadi topik perdebatan setiap kali menjelangnya musim perayaan. Saban tahun, banyak kes yang melibatkan mangsa kemalangan jalan raya dicatatkan hasil daripada operasi keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia. Oleh itu, adalah penting untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah kemalangan jalan raya.

Isi 1- Memperkenalkan kursus langkah keselamatan jalan raya

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi membendung kemalangan jalan raya daripada terus berlaku adalah dengan memperkenalkan kursus langkah keselamatan jalan raya yang wajib dihadiri oleh semua pengguna jalan raya di Malaysia termasuk pelajar sekolah. Ia bagi memastikan pengguna dapat memahami risiko dan cara untuk mengelakkannya. Melalui kursus ini, pengguna dapat “refresh” kembali topik-topik seperti peraturan lalu lintas, amalan pemanduan yang selamat, penggunaan alat keselamatan seperti tali pinggang keselamatan dan topi keledar, serta kecuaian yang perlu dielakkan semasa memandu.

Selain itu, langkah yang boleh diambil bagi mencegah kemalangan adalah sentiasa melakukan pemeriksaan kenderaan secara berkala lebih-lebih lagi apabila hendak pulang ke kampung. Pengguna disarankan untuk memeriksa brek, tayar, lampu, dan sistem lain yang berkaitan dengan keselamatan. Kenderaan yang baik adalah asas kepada pemanduan yang selamat.

Isi 2- Mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu

Kebelakangan ini, banyak laporan di dada akhbar melaporkan tentang kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh penggunaan telefon bimbit. Kewujudan aplikasi media sosial baharu seperti platform TikTok yang disalahgunakan semasa memandu menjadi antara faktor kemalangan jalan raya. Terdapat juga pengguna kenderaan yang mencipta kandungan video dan membuat siaran langsung melalui platform TikTok sambil memandu. Hal ini boleh membahayakan nyawa sendiri dan orang lain. Justeru, pengguna perlu mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan memberi tumpuan sepenuhnya ketika di jalan raya bagi memastikan tragedi kemalangan tidak berlaku.

Isi 3- Kempen kesedaran awam

Di samping itu juga, pelaksanaan kempen kesedaran awam tentang keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan. Melalui iklan, pengumuman, dan program kesedaran awam secara tidak langsung dapat membantu dalam menyebarkan informasi tentang risiko kemalangan jalan raya dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk pencegahan. Selain itu, kempen seumpama ini juga perlu diuar-uarkan kepada pelajar sekolah agar mereka terdedah dengan kesedaran awam berhubung keselamatan jalan raya.

Penutup

Dalam menangani isu kemalangan jalan raya yang semakin serius, para pengguna jalan raya disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan jalan raya bagi mengelakkan tragedi ini berulang. Etika keselamatan jalan raya perlu dipatuhi agar statistik kemalangan jalan raya dapat dikurangkan setiap tahun. Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dititikberatkan oleh semua pihak bagi memastikan Malaysia menjadi salah satu negara yang selamat dan kurang kemalangan.

Karangan di atas merupakan contoh karangan kemalangan jalan raya yang boleh dijadikan sebagai contoh dan panduan anda apabila menulis karangan. Semoga anda mendapat manfaat daripada perkongsian kali ini.

Add a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

(adsbygoogle = window.adsbygoogle || []).push({});
Advertisement